Kawasaki Ninja ZX-25R SE 2023 dilancarkan di pasaran Jepun

Selepas dilancarkan di beberapa pasaran negara ASEAN, model sport bike berprestasi tinggi Kawasaki Ninja ZX-25R SE 2023 akhirnya dilancarkan di pasaran Jepun.

Model tersebut bagaimanapun hanya akan berada di pasaran Jepun bermula dari tarikh 15hb. April 2023, dengan tiga pilihan warna termasuklah skim warna KRT Edition.

Kawasaki Ninja ZX-25R SE 2023 dilengkapi enjin bersesaran 249.8cc (Liquid-cooled, 4-stroke In-Line Four, DOHC, 16 valves) dengan teknologi 4-silinder yang mengujakan.

Enjin itu kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan, di samping Assist & Slipper Clutch dan Kawasaki Quick Shifter (KQS) untuk penukaran gear yang lebih lancar.

Untuk pasaran Jepun, ianya kini patuh piawaian emisi terkini, dan menawarkan prestasi maksimum 48PS (49PS dengan Ram Air) @ 15,500rpm dan tork 22Nm @ 12,500rpm.

Di bahagian suspensi, ianya dilengkapi fork depan SFF-BP 37 mm (Separate Function Fork – Big Piston) dan suspensi belakang Horizontal Back-Link (pelarasan prabeban).

Sistem brek terdiri daripada brek cakera depan ‘radial-mount monobloc caliper’ 310 mm dengan empat piston, di samping brek cakera belakang tunggal berdiameter 220 mm.

Kawasaki Ninja ZX-25R 2023 dilengkapi tayar bersaiz 110/70-R17 (depan) dan 150/60-R17 (belakang). Tinggi tempat duduk 785 mm, dan kapasiti tangki bahan api 15 liter.

Pelbagai ciri-ciri menarik lainnya ialah KTRC (Kawasaki Traction Control), Power Mode Selection, Centre Ram Air System, Electronic Throttle Valves dan sistem brek ABS.

Lebih menarik, ianya kini dilengkapi panel meter baharu TFT 4.3 inci dengan ciri Circuit Mode dan sistem sambungan ke telefon pintar menggunakan aplikasi RIDEOLOGI.

Berbanding model tahun sebelumnya, Kawasaki Ninja ZX-25R SE 2023 kini dilengkapi sistem ekzos baharu yang tampil lebih sporty, dan ianya juga kini lebih mesra alam.

Untuk pasaran Jepun, Kawasaki Ninja ZX-25R SE 2023 buatan Thailand ini ditawarkan dengan harga jualan 962,500 Yen, bersamaan nilai RM 32,596.18 (kadar semasa).