Modenas Kriss 110 2023 terima kemaskini warna baharu

Modenas hari ini dengan rasminya melancarkan model kapcai popular keluarannya iaitu Modenas Kriss 110 2023, yang kini tampil dengan kemaskini tiga warna baharu.

Bagi varian standard yang dilengkapi brek dram, Modenas Kriss 110 2023 didatangkan pilihan warna baharu Kuning, Biru dan Hitam, bersama-sama corak grafik terkini.

Bagi Modenas Kriss 110 Disc Brake 2023 yang merupakan varian dengan brek cakera, pilihan warna baharunya ialah Merah, Biru dan Hitam, dengan corak grafik terkini.

Selain daripada sistem brek yang berbeza, spesifikasi dan ciri-ciri lain untuk kedua-dua varian tersebut adalah sama, termasuklah enjin 107cc (4-lejang, SOHC, 1-silinder).

Enjin dengan teknologi karburetor dan sejukan udara itu dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan, dan menjana 6.57hp @ 8,000rpm dengan tork 6.7Nm @ 6,000rpm.

Modenas Kriss 110 seterusnya dilengkapi fork depan teleskopik, penyerap hentak jenis berkembar di bahagian belakang, dan tangki bahan api dengan kapasiti 4.2 liter.

Melengkapkan lagi ciri-ciri menarik pada model tersebut ialah penunjuk gear dan meter minyak digital, suis lampu kecemasan, pengecas USB, dan ruang simpanan 6.6 liter.

Modenas Kriss 110 2023 ditawarkan dengan harga jualan asas RM 3,917.00, manakala untuk Modenas Kriss 110 Disc Brake 2023, harga jualan asasnya ialah RM 4,437.00.

Galeri : Modenas Kriss 110 2023 (versi brek dram) 

Galeri : Modenas Kriss 110 Disc Brake 2023 (versi brek cakera)