Kawasaki Ninja ZX-4RR 2023 rasmi dilancarkan di Indonesia

Selepas hampir dua bulan membuat kemunculan pertama di pasaran Amerika Syarikat, Kawasaki Ninja ZX-4RR 2023 kini secara rasmi dilancarkan di pasaran Indonesia.

Hanya satu pilihan warna yang ditawarkan untuk model tersebut iaitu Lime Green (KRT Edition), dengan harga jualannya ialah sebanyak Rp. 239,900,000 (RM 70,017.85).

Berbanding varian Standard dan SE yang telah dilancarkan di pasaran Thailand, Ninja ZX-4RR merupakan varian teratas dengan sistem suspensi belakang yang eksklusif.

Sistem suspensi belakang premium itu ialah Horizontal Back-link BFRC Lite dengan ciri boleh laras sepenuhnya, yang menawarkan prestasi tunggangan yang lebih baik.

Kawasaki Ninja ZX-4RR 2023 dikuasakan enjin 399cc (Liquid-cooled, 4-stroke In-Line Four, DOHC, 16 valves) dengan kuasa maksimum 77PS (80PS dengan Ram Air).

Enjin empat silinder itu seterusnya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan, Assist & Slipper Clutch dan Kawasaki Quick Shifter untuk operasi gear yang lebih lancar.

Melengkapkan lagi model tersebut ialah fork depan Showa SFF-BP dengan pelarasan prabeban, tangki bahan api 15 liter, tinggi pelana 800 mm, dan berat hanya 189 kg.

Selain itu ianya turut dilengkapi panel instrumen TFT 4.3 inci dengan ciri sambungan ke telefon pintar, Riding Mode, Kawasaki TRaction Control (KTRC) dan Power Modes.