WMoto bakal melancarkan model moped 150cc serba baharu

WMoto Malaysia baru-baru ini telah dikatakan bakal melancarkan sebuah model moped serba baharu, yang dijangkakan pada hujung tahun ini atau pada awal tahun depan.

Menurut sumber dari rakan media Pandulaju.com.my, maklumat yang sangat menarik itu telah dikongsikan sendiri oleh Ketua Pegawai Operasi (COO) MForce, Asri Ahmad.

Beliau mendedahkan maklumat mengenai model moped serba baharu itu kepada pihak media, sejurus majlis pelancaran model cruiser terbaharu WMoto Bobbie VII 2023.

Tambah beliau lagi, model moped tersebut mempunyai kelebihan yang tersendiri kerana ianya boleh menggunakan komponen dan aksesori dari jenama Honda dan Yamaha.

Selain itu model yang sedang dibangunkan oleh pengeluar dari China itu juga dikatakan mempunyai reka bentuk yang sangat menarik, menggabungkan reka bentuk dua model moped 150cc popular keluaran Jepun, termasuklah sentuhan ala Ducati Panigale.

Berdasarkan lakaran awal yang ditunjukkan kepada pihak Pandulaju, model yang sporty itu menawarkan kemudahan bercirikan Malaysia, iaitu akan dilengkapi dengan bakul.

Akhir sekali, model moped serba baharu itu juga dikatakan bakal menyertai Kejuaraan Cub Prix Malaysia, jika ianya mampu dan bersesuaian, menjelang tahun 2024 nanti.

Di pasaran tempatan ketika ini, WMoto menawarkan model moped WMoto F15, dengan reka bentuk yang sporty dan harga yang sangat berpatutan berbanding pesaingnya.

Namun begitu menurut pihak MForce, WMoto F15 itu sebenarnya sebuah model moped berspesifikasi rendah, manakala model baharu itu nanti akan memiliki spesifikasi tinggi.

Sementara itu, sebuah lagi model super moped terbaharu yang dikenali sebagai Projek AM-2 juga bakal dilancarkan pada suku ketiga tahun ini, jadi sama-sama kita tunggu.