Skuter Suzuki SUI 125 2023 dilancarkan di pasaran Taiwan

Sebuah model skuter terbaharu dilancarkan di pasaran Taiwan, dikenali dengan nama Suzuki SUI 125 2023, dan ianya tampil dengan lima pilihan warna yang menarik.

Sebagai promosi awal, harga jualannya ditetapkan sebanyak 56,700 TWD, bersamaan RM 8.302.39 (kadar semasa), yang akan tamat pada tarikh 30hb. Mei 2023. Selepas itu ianya akan ditawarkan pada harga asal 70,000 TWD, bersamaan RM 10,249.86.

Suzuki SUI 125 ini dilengkapi enjin bersesaran 124cc dengan sistem penyejukan udara, dan kemudiannya dipadankan dengan sistem transmisi automatik CVT yang lancar.

Enjin yang cekap itu menghasilkan kuasa maksimum 8.84PS @ 7,000rpm dengan tork puncak 9.6Nm @ 6,000rpm. Kapasiti penuh tangki bahan apinya mencapai 5.5 liter.

Untuk keselamatan, ianya dilengkapi sistem brek cakera di bahagian depan dan sistem brek dram di bahagian belakang. Saiz tayar depan dan belakangnya ialah 100/90-10.

Antara ciri-ciri menarik yang ditawarkan oleh Suzuki SUI 125 ialah lampu depan bersaiz besar untuk cahaya yang lebih luas, lampu belakang LED yang jelas, dua kabel pendikit minyak yang tahan lasak, dan tempat duduk yang selesa pada ketinggian 750 mm,

Model itu juga mempunyai ruang lantai kaki yang cukup luas, ruang storan yang luas di bahagian depan dan di bawah tempat duduk, dan penyangkut serba guna anti-lompat.