Yamaha Ténéré 700 Explore Edition 2023 diperkenalkan di pasaran Eropah

Selain daripada model terbaharu Yamaha Ténéré 700 Extreme Edition 2023, pasaran Eropah turut menerima pelancaran model Yamaha Ténéré 700 Explore Edition 2023.

Model itu ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Icon Blue dan Tech Kamo, dan telah dinaik taraf spesifikasinya berbanding model standard Yamaha Ténéré 700 2023.

Berikut ialah naik taraf terkini pada model Yamaha Ténéré 700 Explore Edition 2023 :

  • Fork depan KYB 43mm baharu dengan travel 190mm (kurang 20mm berbanding model standard Ténéré 700)
  • Suspensi belakang (remote adjustable) mempunyai travel 180mm (kurang 20mm daripada Ténéré 700).
  • Ketinggian tempat duduk 860mm untuk lebih keselesaan dan pengendalian yang lebih mudah (kurang 15mm berbanding Ténéré 700)
  • Skrin penghadang angin 50% lebih tinggi dan lebih lebar untuk perlindungan yang lebih baik
  • Sokongan ‘pannier’ sisi yang dipasang sebagai ciri standard
  • Pilihan ‘side cases’ jenis keras atau lembut (dengan kos tambahan)
  • Dilengkapi ‘quick-shift system’ dengan tetapan khusus untuk operasi penukaran gear yang lebih optimum

Spesifikasi dan ciri-cirinya yang lain adalah sama dengan model standard Ténéré 700, termasuklah enjin CP2 bersesaran 689cc (4-stroke, 2-cylinder, liquid-cooled, DOHC).

Digandingkan dengan transmisi enam kelajuan, enjin itu menawarkan kuasa 73.4PS @ 8,750rpm dengan tork 67Nm @ 6,500rpm. Berat penuh model itu mencapai 211 kg.