Royal Enfield Hunter 350 2023 kini rasmi di pasaran Malaysia

Pasaran Malaysia baru-baru ini secara rasminya menerima pelancaran model terbaharu Royal Enfield Hunter 350 2023, dalam dua varian Metro Dapper dan Metro Rebel.

Bagi varian Metro Dapper, harga jualan yang ditawarkan ialah sebanyak RM 22,000.00, manakala varian Metro Rebel tampil dengan tanda harga sebanyak RM 22,200.00.

Bagi kedua-dua varian tersebut, perbezaan yang ditawarkan hanyalah melibatkan skim warna sahaja, di mana setiap varian mempunyai tiga pilihan warna yang berbeza.

Varian Metro Dapper menawarkan skim warna Dapper White, Dapper Ash dan Dapper Gray, dan varian Metro Rebel menawarkan Rebel Blue, Rebel Red dan Rebel Black.

Royal Enfield Hunter 350 dikuasakan enjin bersesaran 349cc (Single Cylinder, 4 Stroke, Air Cooled), yang kemudiannya dipadankan dengan sistem transmisi lima kelajuan.

Enjin itu menghasilkan kuasa maksimum 20.2bhp @ 6,100rpm dengan tork maksimum 27Nm @ 4,000rpm. Kapasiti tangki bahan api model seberat 181 kg itu ialah 13 liter.

Melengkapkan spesifikasi model berkenaan ialah sistem brek dengan ABS, panel meter digital dan analog, tinggi pelana 790 mm, dan tayar bersaiz 110/70-17 dan 140/70-17.

Selain itu ianya juga tersedia port pengecas USB. Menurut pengeluarnya, Royal Enfield Hunter 350 2023 ini mampu mencatatkan kelajuan maksimum sehingga 114 km/j.