Pada tarikh 12hb. Mac 2023 baru-baru ini, Boon Siew Honda dengan rasminya telah melancarkan model skuter terbaharu Honda Vario 125 2023, untuk pasaran Malaysia.
Tampil dengan tiga pilihan warna menarik iaitu Kuning, Merah dan Biru, model tersebut ditawarkan dengan harga jualan asas sebanyak RM 7,080.00 sahaja. Tempoh jaminan yang ditawarkan pula adalah selama 2 tahun atau sehingga 20,000 km perjalanan.
Honda Vario 125 2023 dikuasakan enjin eSP yang cekap, bersesaran 124.9cc (silinder tunggal, sejukan cecair, SOHC) dan digandingkan dengan sistem transmisi automatik.
Enjin itu menjana kuasa maksimum 8.5kW @ 8,500rpm dengan tork puncak 11.7Nm @ 5,000rpm. Untuk perjalanan yang lebih jauh, ianya memiliki tangki bahan api 5.5 liter.
Spesifikasi lainnya termasuklah fork depan teleskopik, suspensi belakang tunggal, brek cakera depan, brek belakang jenis dram, dan tayar bersaiz 90/80-14 dan 100/80-14.
Ciri-ciri menarik yang ditawarkan oleh Honda Vario 125 2023 adalah seperti sistem brek CBS (Combi Brake System), sistem kunci pintar, paparan meter digital sepenuhnya, ISS (Idling Stop System), sistem lampu LED, pengecas USB, dan penyangkut serba guna.
Untuk pasaran Malaysia, Boon Siew Honda ketika ini turut menawarkan beberapa buah model skuter lain, seperti Honda BeAT, Honda Vario 160, dan juga Honda ADV160.