PETRONAS MIE Racing Honda Team 2023 diperkenalkan

Pada tahun ini, Petronas dengan rasminya menjadi penaja utama kepada pasukan MIE Racing Honda Team, yang bersaing di dalam dua kelas perlumbaan WorldSBK.

Kelas pertama ialah Superbike (WSBK) dengan menggunakan jentera berprestasi tinggi Honda CBR1000RR-R Fireblade SP, yang ditunggang oleh pelumba tempatan terkenal Hafizh Syahrin dan rakan sepasukannya Eric Granado.

Bagi kelas Supersport (WSSP), jentera yang digunakan ialah Honda CBR600RR, yang bakal dikendalikan oleh pelumba tempatan Adam Norrodin dan Tarran Mackenzie.

Oleh itu sempena perlumbaan pertama yang bakal berlangsung di litar Phillip Island pada hujung minggu ini, PETRONAS MIE Racing Honda Team dengan rasminya telah memperkenalkan jentera perlumbaan untuk musim ini, di samping barisan pelumbanya.

Menariknya ialah keempat-empat jentera perlumbaan tersebut kini menggunakan livery atau corak grafik bertemakan Petronas, yang kelihatan cukup menarik dan menyerlah.

Diharapkan kesemua pelumba pasukan PETRONAS MIE Racing Honda Team kali ini akan beroleh kejayaan cemerlang, terutamanya Hafizh Syahrin dan Adam Norrodin.