GPX Tuscany 150 2023 diperkenalkan di pasaran Thailand

Pasaran Thailand baru-baru ini dengan rasminya telah menerima sebuah model skuter terbaharu GPX Tuscany 150 2023, hasil jalinan kerjasama di antara GPX dan SYM.

Pada tahun 2020 yang lalu, GPX Thailand dan SYM Taiwan telah bekerjasama dengan memperkenalkan model GPX Drone, yang kini telah sampai ke model tahun 2023.

GPX Tuscany 150 2023 merupakan sebuah model skuter moden yang bercirikan klasik, dan ianya dikuasakan enjin 149.6cc (4-stroke, 1-cylinder, SOHC, 2-valve, air-cooled).

Enjin tersebut dipadankan dengan sistem transmisi jenis CVT. Jumlah kuasa dan jumlah tork tidak pula diumumkan oleh GPX. Tangki bahan apinya memiliki kapasiti 5.7 liter.

GPX Tuscany 150 tampil dalam dua pilihan varian Standard dan Smart Key. Bagi varian Standard, ianya didatangkan dua pilihan warna Gelato Green Mint dan Smoke Grey.

Bagi varian Smart Key, model skuter berkenaan mempunyai lima pilihan warna menarik iaitu Rubino Red, Gelato Green Mint, Smoke Grey, Daisy White dan juga Truffle Black.

Bagi kedua-dua varian itu, perbezaan di bahagian teknikal hanyalah melibatkan sistem kunci sahaja. Spesifikasi, ciri-ciri dan kemudahan lain yang ditawarkan adalah sama.

Selanjutnya, GPX Tuscany 150 ini dilengkapi fork depan teleskopik, suspensi belakang jenis berkembar, dan sistem brek cakera depan dan belakang dengan teknologi CBS.

Saiz rodanya 110/70-R12 (depan) dan 120/70-R12 (belakang), dan tinggi tempat duduk 780 mm. Sistem lampu semuanya LED, dan turut dilengkapi panel meter digital LCD.

Ciri-ciri menarik lain adalah seperti pengecas USB yang pantas, ruang storan di bawah tempat duduk seluas 27 liter, dan emblem 3D untuk penampilan yang lebih premium.

Untuk pasaran Thailand, GPX Tuscany 150 2023 boleh dimiliki dengan harga sebanyak THB 59,900, bersamaan RM 7,712.87 berdasarkan kadar tukaran mata wang semasa.