Adakah Aveta VZR250 2023 jelmaan Taro GP1 250R?

Menurut sumber yang tersebar ketika ini, sebuah model sport bike terbaharu bernama Aveta VZR250 2023 bakal dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi.

Tarikh pelancaran rasmi model tersebut dikatakan pada 12hb. Januari 2023 (Khamis), dengan harga jualan asasnya disebut-sebut berada di bawah paras RM 20,000.00.

Setakat ini berdasarkan ramalan awal, Aveta VZR250 2023 mungkin merupakan jelmaan model sport bike Taro GP1 250R yang berasal dari negara China.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi, Taro GP1 250R dikuasakan enjin dua silinder bersesaran 249.5cc dengan kuasa maksimum 16.76hp @ 8,500rpm dan tork maksimum 16.5Nm @ 6,000rpm.

Enjin tersebut dipadankan transmisi enam kelajuan. Kapasiti tangki bahan apinya ialah 14 liter, manakala beratnya mencapai angka 186 kg (kerb weight).

Tayar depan dan belakangnya masing-masing bersaiz 110/70-17 dan 150/70-17, tinggi tempat duduk 780 mm, dan sistem breknya terdapat dalam versi CBS dan ABS.

Ciri-ciri menariknya yang lain termasuklah panel meter digital TFT, sistem lampu LED, dan sudah pasti reka bentuk dan penampilannya yang sporty dan moden.

Bagaimanapun jika benar Aveta VZR250 2023 merupakan jelmaan daripada model Taro GP1 250R, setakat ini tidak pasti adakah spesifikasi teknikalnya akan kekal sama.

Untuk maklumat selanjutnya, kita nantikan pelancaran rasmi model sport bike keluaran syarikat pengeluar motosikal tempatan Aveta Global Marketing Sdn. Bhd. ini.