SYM Philippines baru-baru ini rasmi mengumumkan harga untuk model terbaharu SYM VF3i 185 V3 2023, iaitu sebanyak ₱ 126,800.00, bersamaan nilai RM 9,974.84.
Untuk pasaran Filipina, model moped itu tampil dengan tiga pilihan warna menarik Gold, Red dan Blue, sama seperti model SYM VF3i 185 Pro 2020 di pasaran Malaysia.
Antara kelebihan pada SYM VF3i 185 V3 2023 ini ialah enjinnya yang berkapasiti 185cc dengan sistem penyejukan cecair, dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.
Menurut laman sesawang Mitsukoshishop.ph, enjin berprestasi itu menghasilkan kuasa maksimum 19.8hp @ 9,000rpm dengan tork yang mencecah 17.4Nm @ 7,500rpm.
SYM VF3i 185 V3 2023 seterusnya dilengkapi fork depan teleskopik, suspensi belakang monoshock, tayar bersaiz 90/80-17 dan 120/70-17, dan tinggi tempat duduk 790 mm.
Ciri-ciri menarik lain yang melengkapinya ialah tangki bahan api 6.5 liter, paparan meter bergaya, dan sistem brek cakera depan dan belakang dengan ABS Single Channel.