Yamaha di pasaran Jepun baru-baru ini memperkenalkan model Yamaha YZF-R7 2023, yang kini tampil dengan pilihan warna baharu White dan rim roda berwarna Vermillion.
Selain itu, model sport bike ringan dan mudah dikendalikan itu turut ditawarkan dengan dua pilihan warna terdahulu Blue dan Black. Spesifikasi teknikal pula tiada perubahan.
Pilihan warna White untuk Yamaha YZF-R7 2023 di pasaran Jepun sebenarnya adalah sama dengan skim warna Intensity White untuk Yamaha YZF-R7 2023 di pasaran USA.
Harga jualannya ialah 1,054,900 Yen, bersamaan RM 34,894.63 mengikut nilai semasa, dan akan berada di pasaran Jepun dengan rasminya mulai tarikh 28hb. Februari 2023.
Yamaha YZF-R7 2023 memiliki enjin 689cc (2-cylinder, liquid-cooled, 4-stroke, 4-valves, DOHC), dengan prestasi maksimum 73PS @ 8,750rpm dan tork 67Nm @ 6,500rpm.
Untuk pasaran Malaysia, Hong Leong Yamaha Motor sebelum ini telah mempamerkan model tersebut di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sewaktu MotoGP Malaysia 2022.
Ini bermakna pasaran Malaysia akan turut menerima pelancarannya, namun sehingga kini tiada maklumat lanjut. Mungkinkah pelancarannya pada hujung tahun 2023 nanti?