Gambar : Honda ADV160 2023
Model skuter adventure yang dinanti-nantikan sejak beberapa bulan yang lepas Honda ADV160 2023, akhirnya dilancarkan secara rasmi di pasaran Malaysia baru-baru ini.
Pelancaran tersebut sebenarnya memberikan kejutan kepada ramai peminat motosikal dan skuter tempatan, kerana ianya berlaku dengan pantas tanpa disangka-sangka.
Tanpa sebarang khabar angin dan kelibat ujian model tersebut di jalan raya di Malaysia, bermakna Boon Siew Honda begitu cekap sekali dalam menyimpan rahsia model itu.
Honda ADV160 2023 membuat kemunculan pertama di pasaran Indonesia dalam bulan Julai 2022. Selepas itu ianya dilancarkan di Thailand, Filipina, Jepun dan Singapura.
Dalam tempoh masa hanya enam bulan selepas model tersebut dilancarkan di pasaran Indonesia, Honda ADV160 2023 kini telah pun rasmi ditawarkan di pasaran Malaysia.
Ianya merupakan berita yang sangat baik, kerana pasaran Malaysia kini tidak terpinggir lagi dalam penerimaan model-model baharu, yang sebelum ini mengambil masa lama.
Namun begitu dari suatu sudut, para pemilik Honda ADV150 di pasaran tempatan kini berada dalam dilema, kerana mengenangkan skuter mereka yang telah ketinggalan.
Dengan pelancaran Honda ADV160, Honda ADV150 hanya sempat berada di pasaran Malaysia selama tempoh dua tahun sahaja sejak pelancarannya pada Februari 2021.
Lebih menyedihkan sekiranya terdapat pemilik Honda ADV150 yang baru saja memiliki model berkenaan dalam tempoh beberapa hari, sebelum Honda ADV160 dilancarkan.
Pasti ada pemilik Honda ADV150 yang merasa terkilan, kerana tidak menyangka Honda ADV160 akan tiba di pasaran Malaysia secepat itu, tanpa sebarang informasi awal.
Hendak dijual semula, pastinya harga terpakainya turun ke paras terendah, apatah lagi jika masih banyak bayaran ansuran atau hutang yang perlu dijelaskan kepada kedai.
Mahu tidak mahu walaupun tanpa kerelaan, Honda ADV150 perlu juga dimiliki sehingga tempoh tertentu, sebelum hasrat untuk memiliki Honda ADV160 akan tercapai nanti.
Namun begitu dari sudut positifnya, perbezaan spesifikasi di antara Honda ADV150 dan Honda ADV160 tidak begitu berbeza, malah kedua-duanya juga tampil hampir serupa.
Bagi menyedapkan lagi hati, bayaran cukai jalan @ road tax untuk Honda ADV150 yang memiliki enjin 150cc hanya RM 2.00, dan bayaran sebanyak RM 30.00 untuk ADV160.
Bagaimanapun terpulang kepada semua pemilik Honda ADV150, sama ada untuk terus setia dengan model skuter tersebut, atau nekad pergi ke kedai untuk urusan ‘trade-in’.