Honda CB650R 2023 terima kemaskini warna baharu di Jepun

Di pasaran Jepun, Honda CB650R 2023 kini ditawarkan dengan dua pilihan warna dari musim sebelumnya iaitu Matte Ballistic Black Metallic dan Matte Jeans Blue Metallic.

Kedua-dua pilihan warna tersebut bagaimanapun telah dikemaskini semula, menjadikan penampilan terbaharu model Neo Sports Café itu kini lebih sporty dan lebih menyerlah.

Beralih ke bahagian teknikal, Honda CB650R 2023 masih mengekalkan spesifikasi dan ciri-ciri yang sama seperti mana model terdahulu, tanpa sebarang naik taraf terbaharu.

Enjinnya bersesaran 649cc (liquid-cooled, 16-valve, DOHC, inline-4 cylinder) dan patuh piawaian emisi paling terkini, sama seperti enjin pada jentera Honda CBR650R 2023.

Hamburan kuasa maksimum daripada enjin itu mencapai 95PS @ 12,000rpm, dengan tork 63Nm @ 9,500rpm. Transmisinya enam kelajuan dengan Assist & Slipper Clutch.

Spesifikasi lengkapnya termasuklah HSTC, fork depan SFF-BP daripada Showa, sistem lampu LED, panel meter LCD, pengecas USB Type-C, dan sistem brek ABS dua hala.

Honda CB650R 2023 seterusnya dilengkapi tangki petrol 15 liter, saiz tayar depan dan belakang 120/70-17 dan 180/55-17, tinggi tempat duduk 810 mm, dan berat 203 kg.

Untuk pasaran Jepun, ianya akan tiba pada tarikh 16hb. Februari 2023. Untuk pasaran Malaysia, Honda CB650R 2022 kini boleh dimiliki dengan harga asas RM 43,499.00.