Berapakah ‘top speed’ Honda ADV160 2023?

Tanpa disangka-sangka, model skuter Honda ADV160 2023 akhirnya telah dilancarkan di pasaran Malaysia secara rasmi, dengan harga jualan sebanyak RM 12,999.00.

Dari segi reka bentuk dan skim warnanya, penampilan keseluruhan Honda ADV160 kali ini kelihatan lebih sporty dan segar berbanding generasi terdahulu Honda ADV150.

Honda ADV160 kini dikuasakan enjin eSP+ yang lebih moden, dalam sesaran 156.9cc dengan prestasi maksimum 15.82hp @ 8,500rpm dan tork 14.7Nm @ 6,500rpm.

Sementara itu bagi model Honda ADV150, ianya dilengkapi enjin eSP berkapasiti 149cc yang menjana kuasa maksimum 14.6hp @ 8,500rpm dan tork 13.9Nm @ 6,500rpm.

Berdasarkan maklumat dari brosur, Honda ADV160 dan Honda ADV150 kedua-duanya mempunyai berat yang sama iaitu 133 kg (berat dengan minyak dan tangki penuh).

Jadi persoalannya di sini ialah berapakah kelajuan maksimum atau ‘top speed’ Honda ADV160? Adakah kelajuan maksimumnya lebih tinggi berbanding Honda ADV150?

Berdasarkan informasi terdahulu, kelajuan maksimum atau top speed yang dicatatkan oleh Honda ADV150 ialah 115 km/j sahaja, yang boleh dikatakan agak memuaskan.

Kelajuan maksimum atau top speed Honda ADV160 pula, berdasarkan rakaman video-video yang disiarkan di dalam halaman YouTube, telah berjaya mencapai 120 km/j.

Ini bermakna Honda ADV160 mempunyai kelajuan yang lebih tinggi berbanding Honda ADV150, disebabkan kapasiti enjin Honda ADV160 yang lebih besar dan lebih moden.

Dengan kelajuan maksimum mencapai 120 km/j, prestasi sebenar Honda ADV160 2023 ini sebenarnya boleh dipuji. Paling penting ianya selesa ditunggang pada setiap masa.