Adakah kuasa Kawasaki Ninja ZX-4R 2023 akan melebihi 70PS?

Salah sebuah model sport bike yang dinanti-nantikan kemunculannya pada tahun ini ialah Kawasaki Ninja ZX-4R 2023 serba baharu. Model tersebut setakat ini berkemungkinan besar akan dilancarkan di Osaka Motorcycle Show 2023, yang akan berlangsung pada bulan Mac 2023.

Namun sebelum itu menjelang pelancaran rasminya, model yang akan dikuasakan enjin 400cc dengan konfigurasi empat silinder itu dikatakan bakal menawarkan kuasa maksimum yang cukup tinggi. Menurut sumber dari Young Machine, enjin Kawasaki Ninja ZX-4R 2023 dikatakan mampu menghamburkan kuasa melebihi paras 70PS, berdasarkan maklumat terkini yang diperolehi.

Tidak pasti sama ada maklumat tersebut tepat atau pun tidak, namun sudah pasti pihak Kawasaki mempunyai kemampuan dan teknologi untuk menjadikan enjin itu lebih berkuasa. Pada masa yang saman, enjin model tersebut juga dikatakan akan mematuhi piawaian emisi versi paling terkini.

Berdasarkan maklumat terdahulu, Kawasaki Ninja ZX-4R 2023 bukan saja hanya akan dipasarkan di pasaran domestik Jepun, malah ianya juga dijangka akan ditawarkan di pasaran Eropah, USA dan beberapa pasaran lain. Untuk pasaran Malaysia, mungkin tidak. Namun berita baiknya ialah pasaran Malaysia akan menerima model Kawasaki Ninja ZX-25R 2023 tidak lama lagi.