Pada bulan April 2022 yang lalu, Hong Leong Yamaha Motor telah melancarkan Yamaha Y15ZR 2022, dengan skim warna terbaharu. Model moped berkenaan ketika itu ditawarkan dengan harga asas sebanyak RM 8,498.00, tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan. Kini belum pun sampai setahun, Yamaha Y15ZR 2023 telah diperkenalkan hari ini, dengan skim warna baharu.
Seiring dengan warna baharu, Yamaha Y15ZR 2023 kini telah ditawarkan dengan harga jualan asas terkini iaitu sebanyak RM 8,998.00, meningkat sebanyak RM 500.00 berbanding harga asas model sebelumnya. Spesifikasi teknikal pula masih sama, dan belum ada peningkatan sama ada sistem brek ABS yang lebih selamat, sistem kunci pintar, soket pengecas USB dan sebagainya.
Yamaha Y15ZR 2023 dikuasakan enjin berkapasiti 150cc (liquid-cooled, 4-stroke SOHC, single cylinder) dengan transmisi lima kelajuan. Prestasi maksimum enjin itu berada pada paras 15.15hp @ 8,500rpm, dengan janaan tork maksimum 13.8Nm @ 7,000rpm. Sistem transmisinya ialah lima kelajuan. Tangki bahan api kekal dengan 4.2 liter, sudah memadai untuk tunggangan harian.
Spesifikasi lain yang melengkapi Yamaha Y15ZR 2023 adalah seperti lampu depan LED, panel meter digital LCD, sistem brek cakera di bahagian roda depan dan belakang, dan tayar dalam siri 70/90-R17 (depan) dan 120/70-R17 (belakang). Dengan penampilan warna serba baharu yang lebih sporty, pelanggan juga akan menerima kunci cakera Yamaha percuma bernilai RM 100.00.
Sumber gambar : Paultan.org