Pada bulan Oktober 2022 yang lalu, Yamaha Y16ZR 2023 telah diperkenalkan di pasaran Malaysia dengan tiga pilihan warna baharu. Kini untuk pasaran Vietnam, model moped tersebut yang dikenali dengan nama Yamaha Exciter 155 VVA 2023, rasmi diperkenalkan dengan skim warna terbaharu.
Untuk pasaran Vietnam, Yamaha Exciter 155 VVA 2023 tampil dengan tiga pilihan warna terbaharu Jingga, Hitam dan Merah. Seperti model tahun sebelumnya, dua varian ditawarkan iaitu Premium dan Standard, dengan perbezaannya ialah varian Premium dilengkapi brek cakera depan dengan ciri dua piston, sistem kunci Smart Key, dan soket pengecas 12V untuk mengecas telefon bimbit.
Setakat ini selain daripada kemaskini pilihan warna terbaharu, Yamaha Exciter 155 VVA 2023 untuk pasaran Vietnam masih kekal dengan spesifikasi sedia ada. Antaranya enjin bersesaran 155cc VVA (single-cylinder, 4-stroke, 4-valve, SOHC, liquid-cooled), transmisi enam kelajuan, Assist & Slipper Clutch, dan kuasa maksimum 17.7hp @ 9,500rpm dengan tork maksimum 14.4Nm @ 8,000rpm.
Melengkapkan lagi ciri-ciri menarik pada model moped sporty itu ialah lampu depan dan belakang LED, lampu depan DRL, paparan meter digital LCD, suis pemati enjin, dan suis ‘passing light’ untuk memotong. Yamaha Exciter 155 VVA 2023 ditawarkan di pasaran Vietnam dengan harga berikut :
- Varian Standard : VND 47,800,000 (RM 8,936.36)
- Varian Premium : VND 50,800,000 (RM 9,497.22)