Jentera adventure Yamaha Ténéré 700 2023 di pasaran USA kini tampil dengan dua pilihan warna terbaharu Team Yamaha Blue dan Shadow Gray. Harga jualannya adalah sebanyak $10,499.00, bersamaan RM 46,500.07 mengikut kadar semasa. Bagi model berwarna biru, ianya akan berada di pasaran pada Januari 2023, dan model berwarna kelabu telah tiba pada bulan Disember 2022.
Berdasarkan maklumat di dalam laman sesawang rasmi, Yamaha Ténéré 700 2023 di pasaran USA masih mengekalkan spesifikasi yang sama seperti model tahun 2022. Sementara itu untuk pasaran Eropah, Yamaha Ténéré 700 2023 telah menerima beberapa naik taraf terkini yang lebih menarik, antaranya termasuklah panel TFT bersaiz 5.0 inci baharu dengan ciri sambungan ke telefon pintar.
Imbas kembali spesifikasi enjinnya, Yamaha Ténéré 700 2023 dilengkapi enjin CP2 dalam sesaran 689cc (4-stroke, 2-cylinder, liquid-cooled, DOHC) dengan transmisi enam kelajuan. Jumlah kuasa yang dihasilkan mencapai 72.41hp @ 9,000rpm dengan tork 68Nm @ 6,500rpm. Model tersebut seterusnya dilengkapi fork depan USD boleh laras sepenuhnya dan sistem brek ABS Dual Channel.
Untuk perjalanan yang lebih jauh, Yamaha Ténéré 700 2023 dibekalkan tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 16 liter. Tayar depan dan belakangnya didatangkan dalam siri 90/90-R21 dan 150/70-R18, dengan balutan tayar Pirelli® Scorpion® Rally STR. Untuk pasaran USA, tidak pasti kenapa lampu signal pada model tersebut belum lagi LED, seperti mana model di pasaran Eropah.