Model kapcai Aveta RX110 2022 di pasaran Malaysia, anggaran harga dari RM 3.5k sehingga RM 4k

Di antara pelbagai pilihan model kapcai yang ditawarkan di pasaran Malaysia pada ketika ini, salah satu daripadanya ialah Aveta RX110 2022. Menurut sumber, model berkenaan buat pertama kalinya dilancarkan di pasaran Malaysia pada bulan Mac 2020. Sehingga kini Aveta RX110 telah beberapa kali menerima kemaskini warna terbaharu, paling terkini seperti di dalam paparan brosur di bawah.

Harga asas yang ditawarkan untuk Aveta RX110 ini tidak diketahui dengan tepat, namun dipercayai dalam lingkungan antara RM 3,500.00 sehingga RM 4,000.00 sahaja. Dari segi penampilan, model tersebut mirip model Yamaha Lagenda 115Z. Spesifikasi enjinnya pula bersesaran 110cc, lengkap dengan sistem bahan api jenis karburetor, sistem penyejukan udara dan transmisi empat kelajuan.

Jumlah kuasa maksimum yang dihasilkan enjin empat lejang itu ialah 6.83hp @ 7,500rpm, dengan tork maksimum 7.2Nm @ 5,500rpm. Tangki bahan apinya mempunyai kapasiti 3.2 liter. Di bahagian suspensi, Aveta RX110 ini menggunakan fork depan teleskopik dan penyerak hentak belakang jenis berkembar. Sistem brek terdiri daripada jenis cakera di bahagian depan dan jenis dram di belakang.

Aveta RX110 seterusnya berdiri di atas tayar depan dan belakang dalam siri 70/90-17 dan 80/90-17 yang membaluti sepasang rim roda sporty. Untuk bakal pembeli yang mungkin memerlukan sebuah motosikal dengan kos pembelian tanpa deposit, Aveta RX110 ini merupakan salah satu pilihan yang sesuai. Pilihan lain yang ada ialah Aveta DY90, atau model terbaharu iaitu Aveta VS110 DB 2022.