Honda CRF300L 2023 terima kemaskini warna baharu, kini dilengkapi pelindung tangan

Honda Motor Europe pada awal bulan Disember baru-baru ini rasmi memperkenalkan model Honda CRF300L 2023 untuk pasaran Eropah. Model tersebut kini telah menerima kemaskini warna baharu Swift Gray, dan dilengkapi pelindung tangan (knuckle guards) berwarna hitam sebagai ciri standard. Bagi pilihan warna terdahulu Extreme Red, pelindung tangannya tampil dengan warna merah.

Untuk musim 2023, spesifikasi teknikal Honda CRF300L masih kekal sama seperti model terdahulu. Enjinnya bersesaran 286cc (Liquid-cooled, single cylinder, DOHC, PGM-FI) dengan transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch, dan menawarkan kuasa maksimum 27hp @ 8,500rpm dengan tork 26.6Nm @ 6,500rpm. Model seberat 142 kg itu kemudiannya dilengkapi tangki petrol 7.8 liter.

Antara spesifikasi standard lain pada Honda CRF300L 2023 ialah fork jenis USD 43 mm, suspensi belakang Prolink, brek cakera dengan ABS Dual-Channel, rim roda ‘aluminium spoke’ dengan tayar dalam siri 80/100-R21 (depan) dan 120/80-R18 (belakang), tinggi tempat duduk 880 mm, kelegaan tanah 285 mm, dan turut dilengkapi panel meter digital LCD paparan positif yang mudah dibaca.