Model kapcai terbaharu Honda Wave RSX FI 110 2023 tampil sporty untuk pasaran Vietnam

Pada awal bulan Disember 2022 yang lepas, Honda Vietnam secara rasminya melancarkan sebuah model kapcai terbaharu dengan penampilan yang begitu menarik dan sporty. Model itu ialah Honda Wave RSX FI 110 2023, yang didatangkan dalam dua pilihan varian sama ada dengan rim berjejari atau rim aloi, di samping dua pilihan warna untuk rim berjejari dan tiga pilihan warna untuk rim aloi.

Harga jualan yang ditawarkan untuk Honda Wave RSX FI 110 2023 itu boleh dikatakan berpatutan, apabila melihat spesifikasi dan ciri-ciri yang melengkapinya. Berikut ialah senarai harga jualannya :

  • Varian rim berjejari / brek dram : VND 22,090,000 (RM 4,140.53)
  • Varian rim berjejari / brek depan cakera : VND 23,690,000 (RM 4,440.43)
  • Varian rim aloi / brek depan cakera : VND 25,690,000 (RM 4,815.31)

Model kapcai terbaharu Honda Wave RSX FI 110 2023 untuk pasaran Vietnam itu dikuasakan enjin bersesaran 109.2cc dengan sistem penyejukan udara dan sistem suntikan bahan api PGM-FI. Enjin itu mampu menjana kuasa maksimum setinggi 8.7hp @ 7,500rpm dengan tork 8.7Nm @ 6,000rpm. Sistem transmisinya ialah empat kelajuan, manakala tangki petrolnya mempunyai kapasiti 4.0 liter.

Selanjutnya, Honda Wave RSX FI 110 2023 dilengkapi sistem kunci dengan ciri keselamatan, panel meter yang jelas dan moden, lampu depan yang sentiasa menyala apabila enjin beroperasi, lampu signal terbina dalam, dan ruang storan di bawah tempat duduk yang luas. Untuk pasaran Malaysia, alangkah menariknya kalau model tersebut akan menggantikan model kapcai Honda Wave Alpha.