Yamaha Augur 155 2023 diperkenalkan di pasaran Taiwan, dilengkapi lampu depan LED dengan ciri Y-LLA dan Y-AU

Yamaha Motor Taiwan baru saja memperkenalkan sebuah model skuter terbaharu, dikenali dengan nama unik Yamaha Augur 155 2023. Antara kelebihan model tersebut ialah ianya dilengkapi dengan sistem lampu depan LED yang canggih iaitu Y-LLA (Yamaha Lean Light Assist) dan Y-AU (Yamaha Adjustable Color Temperature Unit), sistem lampu bantuan condong dan lampu dua pilihan warna.

Untuk pasaran Taiwan, Yamaha Augur 155 hadir dengan tiga pilihan warna menarik. Pada bahagian enjin, ianya merupakan enjin Blue Core VVA bersesaran 155cc dengan sistem penyejuk cecair dan empat injap, namun jumlah kuasa dan tork tidak didedahkan. Enjin itu turut dilengkapi sistem Smart Motor Generator. Tangki bahan api model seberat 132 kg itu didatangkan dengan kapasiti 6.1 liter.

Selain reka bentuknya yang boleh dikatakan luar biasa, Yamaha Augur 155 mempunyai banyak ciri-ciri menarik. Antaranya termasuklah Smart Key, Traction Control, sistem brek cakera dengan ABS, paparan skrin TFT 4.3 inci berwarna sepenuhnya, pengecas USB QC 3.0, Yamaha Y-Connect TWN App, dan sistem lampu LED sepenuhnya. Tinggi tempat duduknya 815 mm dan saiz tayar 13 inci.