CFMOTO Australia sebelum ini telah memperkenalkan model naked CFMOTO 150NK 2021 dengan dua pilihan warna terbaharu Titanium Grey dan Turquoise Blue. Terkini untuk musim 2023, model itu telah didatangkan dengan sistem brek ABS Dual Channel, untuk tahap keselamatan yang lebih baik kepada penunggangnya. Spesifikasi lain pula dikatakan kekal sama seperti mana sebelumnya.
CFMOTO 150NK 2023 dikuasakan enjin berkapasiti 149.4cc (single cylinder, 4 stroke, liquid cooled, EFI, SOHC) yang dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Kuasa maksimum yang ditawarkan oleh enjin tersebut mencapai paras 14.3hp @ 9,000rpm, dengan tork puncak 12.2Nm @ 6,800rpm. Model naked dengan berat kering 135 kg itu kemudiannya dibekalkan tangki bahan api 10 liter.
Spesifikasi dan ciri-ciri lain yang melengkapi CFMOTO 150NK 2023 adalah seperti fork depan jenis terbalik, suspensi belakang monoshock, brek cakera depan 292 mm dan cakera belakang 220 mm dengan kaliper dwi-piston, tayar depan dan belakang CST dalam saiz 100/80-R17 dan 130/70-R17, tinggi tempat duduk 775 mm, panel meter digital LCD dan sistem lampu LED yang terang dan jelas.
Untuk pasaran Australia, CFMOTO 150NK 2023 ditawarkan pada harga $ 4,290.00, bersamaan RM 12,679.79 mengikut kadar semasa. Tempoh jaminan selama 3 tahun dengan perbatuan tanpa had.