Diperkenalkan buat pertama kali sebagai model tahun 2022, kini Benelli Leoncino 125 tiba sebagai model tahun 2023 untuk pasaran Eropah. Empat pilihan warna ditawarkan iaitu Forest Green, Lava Red, Matt Grey dan Matt White. Berdasarkan maklumat daripada siaran akhbar Benelli, spesifikasi teknikal dan ciri-ciri Leoncino 125 2023 masih kekal sama dan tiada sebarang perubahan terkini.
Di bahagian sistem penjana kuasa, model itu dikuasakan enjin bersesaran 125cc (single cylinder, 4-stroke, liquid cooled, 4 valves, SOHC) yang patuh piawaian emisi Euro 5. Sistem transmisinya ialah enam kelajuan, dan enjin itu menjana kuasa maksimum 12.8hp @ 9,500rpm dengan tork 10Nm @ 8,500rpm. Kapasiti tangki bahan api 12.5 liter, dengan tahap ekonomi mencapai 2.2 liter / 100 km.
Selanjutnya, Benelli Leoncino 125 2023 dibangunkan di atas kerangka tradisional trellis, dilengkapi fork depan upside-down 35 mm dan suspensi belakang monoshock, dan menggunakan sistem brek cakera depan 280 mm dengan kaliper tiga piston dan brek cakera belakang 220 mm dengan kaliper dua piston. Sistem brek itu turut dilengkapi dengan sistem CBS untuk pemberhentian yang mantap.
Tayar depan dan belakangnya tampil dalam siri 110/80-R17 dan 130/70-R17. Ciri-ciri menarik yang lain pada Benelli Leoncino 125 2023 ini termasuklah sistem lampu LED, paparan meter digital LCD, dan tinggi tempat duduk 795 mm. Untuk pasaran ASEAN dan juga Malaysia, Leoncino 125 ini tidak akan diperkenalkan, kerana pilihan varian yang ditawarkan ialah Leoncino 250 dan Leoncino 500.