Pengedar motosikal Aprilia di pasaran Malaysia, Didi Group baru-baru ini telah melancarkan model terbaharu Aprilia Tuono 660 Factory 2022. Didatangkan dengan pilihan warna tunggal Factory Dark, harga asasnya ialah sebanyak RM 73,900.00, tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan.
Menurut Aprilia, Tuono 660 Factory kini tampil lebih ringan dan lebih berkuasa berbanding model standard Tuono 660. Model itu kini mempunyai berat hanya 181 kg (kerb weight), hasil daripada penggunaan bateri lithium yang ringan, kurang 2 kg daripada berat asal model standard 183 kg.
Jumlah kuasa daripada enjinnya pula kini meningkat kepada 100hp, berbanding 95hp. Jumlah tork pula kekal pada angka 67Nm. Naik taraf lain termasuklah sistem suspensi yang lebih sofistikated. Fork depan Kayaba 41 mm pada model tersebut kini boleh dilaraskan sepenuhnya, manakala untuk bahagian belakangnya, sistem suspensi daripada Sachs juga mempunyai ciri boleh dilaraskan.
Selain itu, Aprilia Tuono 660 Factory 2022 turut dilengkapi tempat duduk ‘single-seat tail fairing’ berwarna hitam dan merah, yang dibekalkan standard bersama-sama tempat duduk penumpang dan ‘footpegs’. Sistem brek depan dan belakangnya lengkap dengan kaliper daripada Brembo.