Honda Forza 250 2023 buat kemunculan pertama di Jepun, harga bersamaan RM 22,499.54

Selepas pelancaran rasmi Honda Forza 125 2023 dan Honda Forza 350 2023 di pasaran Eropah, kini Honda Forza 250 2023 membuat kemunculan pertama di pasaran Jepun. Tampil dengan pilihan warna Pearl Smoky Gray dan Matte Gunpowder Black Metallic, harga jualannya ialah 691,900 Yen, bersamaan RM 22,499.54. Ianya akan memulakan jualan di Jepun pada tarikh 22 Disember 2022.

Honda Forza 250 2023 dikuasakan enjin eSP+ bersesaran 249cc dengan transmisi automatik CVT, yang menghasilkan 23PS @ 7,750rpm dengan tork 24Nm @ 6,250rpm. Sama seperti versi 125 dan 350, model skuter tersebut turut dilengkapi sistem brek ABS, HSTC, Smart Key, sistem lampu LED, panel instrumen digital LCD, pengecas USB, ruang bagasi 48 liter, dan tangki bahan api 11.7 liter.

Di pasaran Malaysia ketika ini, Boon Siew Honda menawarkan model Honda Forza 250 2021, yang dilancarkan pada bulan Mac 2021 yang lalu. Harga jualan asasnya adalah sebanyak RM 25,388.00. Oleh itu dijangkakan Honda Forza 250 2023 versi facelift terbaharu di pasaran Jepun ini akan turut dilancarkan di pasaran Malaysia, mungkin pada tahun depan, bagi menggantikan model sedia ada.