Modenas Ninja 250 ABS 2022 dan Modenas Z250 ABS 2022 dilancarkan di pasaran Malaysia pada Julai 2022 yang lepas. Kedua-dua model tersebut dilengkapi dengan sistem brek ABS, Assist & Slipper Clutch dan enjin 248cc yang bertenaga. Harga asas yang ditawarkan ialah sebanyak RM 20,500.00 untuk Modenas Ninja 250 ABS, dan sebanyak RM 19,500.00 untuk Modenas Z250 ABS.
Terkini, kedua-dua model berkenaan telah mendapat penarafan keselamatan 5 Bintang daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), di bawah Program Penilaian Motosikal Malaysia (MyMAP). Sijil penarafan itu telah diserahkan kepada Modenas baru-baru ini, dan sekaligus telah membuktikan tahap keselamatan tertinggi pada Ninja 250 ABS dan Z250 ABS .
Untuk makluman anda, Program MyMAP merupakan sebuah usaha berterusan daripada kerajaan untuk menaik taraf tahap keselamatan motosikal di Malaysia dengan mengintegerasi teknologi dan fungsi keselamatan baharu pada motosikal berkapasiti rendah. Dan dalam masa yang sama, bagi mendidik pengguna untuk mempraktikkan tunggangan selamat sebagai pencegahan kemalangan.
Program MyMAP ini dibentuk berlandaskan pengalaman MIROS dalam membangunkan Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) yang turut mempunyai taraf dan sistem penilaian yang sama seperti NCAP. Sementara itu bagi pihak Modenas, mereka sangat berbangga dengan pengiktirafan tersebut, seperti mana kata-kata Ketua Pegawai Eksekutifnya :
Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS berkata, “Kami di pihak MODENAS sangat berbangga dengan pengiktirafan yang telah dianugerahkan pada kedua-dua model Modenas Ninja 250 ABS dan Modenas Z250 ABS. Kedua model ini merupakan motosikal pertama yang menerima penarafan 5 bintang MyMAP bagi segmen model Sports Bike dan Naked Bike bersesaran 250cc.
Dengan itu, kami amat berharap para pembeli akan lebih cakna dalam membuat keputusan ketika membeli motosikal, dan lebih mementingkan teknologi keselamatan yang ditawarkan pada setiap motosikal pilihan mereka. Selain itu, kami di MODENAS akan terus mengaplikasi lebih banyak ciri keselamatan pada model-model kami yang lain.” Tahniah kepada Modenas di atas penarafan itu.