Kawasaki Z250 2023 diperkenalkan di pasaran Jepun, enjin kini patuh piawaian emisi terkini

Model naked Kawasaki Z250 2023 baru saja diperkenalkan di pasaran Jepun, dengan skim warna tunggal Candy Lime Green / Metallic Spark Black. Harga jualannya ialah 638,000 Yen, bersamaan RM 20,840.75 mengikut nilai semasa. Ianya akan berada di pasaran domestik Jepun secara rasmi mulai tarikh 15hb. Februari 2023 akan datang, sama seperti model Kawasaki Ninja 250 2023.

Antara perubahan baharu yang diperkenalkan untuk Kawasaki Z250 2023 ialah enjinnya kini patuh piawaian emisi terkini khusus untuk pasaran Jepun, bersamaan piawaian emisi Euro 5 di pasaran Eropah. Namun jumlah kuasa dan torknya kini menurun kepada 35PS @ 12,500rpm dan 22Nm @ 10,500rpm, berbanding 37PS @ 12,500rpm dan 23Nm @ 10,500rpm bagi model tahun 2022.

Spesifikasi teknikal lain tidak berubah, antaranya dilengkapi sistem transmisi enam kelajuan, Assist & Slipper Clutch, sistem brek cakera dengan ABS, dan panel instrumen digital dengan takometer. Kawasaki Z250 2023 turut dilengkapi lampu depan dan belakang LED, tangki petrol 14 liter, tempat duduk pada ketinggian 795 mm, saiz tayar 110/70-R17 dan 140/70-R17, dan berat hanya 164 kg.

Sumber gambar : kawasaki1ban.com