Yamaha Tracer 9 GT 2023 terima dua pilihan warna terbaharu

Yamaha Motor Europe baru-baru ini telah memperkenalkan Yamaha Tracer 9 GT 2023, dengan dua pilihan warna terbaharu Pure White dan Midnight Black. Spesifikasi teknikalnya pula tiada sebarang perubahan terkini, kerana peminat model Sport Touring itu kini mempunyai pilihan varian terbaharu Yamaha Tracer 9 GT+ 2023. Untuk varian standard, turut ditawarkan ialah Yamaha Tracer 9 2023.

Yamaha Tracer 9 GT 2023 dikuasakan enjin bersesaran 890cc (Liquid-cooled, 4-stroke, 4-valves, 3-cylinder, DOHC, Euro 5) dengan gandingan sistem transmisi enam kelajuan, Assist & Slipper Clutch dan Quick Shift System (QSS). Model dengan tangki petrol 18.7 liter dan berat 220 kg (wet weight) itu menghasilkan kuasa maksimum 119PS @ 10,000rpm dengan tork setinggi 93Nm @ 7,000rpm.

Secara ringkasnya, spesifikasi lain yang melengkapi Yamaha Tracer 9 GT 2023 termasuklah sistem suspensi semi-aktif KYB, 6-Axis IMU dengan Traction Control System (TCS), Slide Control System (SCS), LIFt Control System (LIF) dan Brake Control (BC), sistem lampu LED penuh dengan lampu selekoh LED (LED cornering lights), skrin TFT 3.5 inci berkembar, dan juga pemanas genggaman.

Selain itu ialah sistem brek cakera dengan ABS, tayar depan dan belakang bersaiz 120/70Z-17 dan 180/55Z-17, tinggi tempat duduk 810 mm – 825 mm, dan sudah pasti kotak bagasi ‘hard side cases’ yang menjadikannya sebuah jentera GT sebenar. Di pasaran Malaysia, Yamaha Tracer 9 GT 2021 mula ditawarkan sejak bulan November 2021, dengan harga jualan asas sebanyak RM 69,498.00.