Kawasaki Motors Corporation Japan hari ini memperkenalkan Kawasaki Ninja 250 2023 di pasaran Jepun, yang bakal berada di pasaran secara rasmi mulai tarikh 15hb. Februari 2023. Tampil dengan tiga pilihan warna terbaharu yang lebih sporty dan segar, harga jualan yang ditawarkan untuk model tersebut adalah sebanyak 671,000 Yen, bersamaan nilai RM 21,710.19, mengikut kadar semasa.
Untuk makluman, Kawasaki Ninja 250 2023 di pasaran Jepun kini telah patuh piawaian emisi terkini yang lebih bersih, bersamaan piawaian Euro 5 di pasaran Eropah. Enjinnya masih sama iaitu 248cc (liquid-cooled, 4-stroke, parallel 2-cylinder, DOHC, 4-valve) dengan sistem transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch. Namun kuasanya kini menurun kepada 35PS @ 12,500rpm, manakala jumlah tork kini 22Nm @ 10,500rpm (versi 2022 ialah 37PS @ 12,500rpm & 23Nm @ 10,000rpm).
Spesifikasi lain pula kekal sama dan belum menerima sebarang perubahan baharu. Antaranya ialah sistem brek cakera dengan ABS, fork depan teleskopik, suspensi belakang tunggal dengan lengan ayun, lampu depan dan belakang LED, panel instrumen digital LCD dengan takometer analog, dan tangki bahan api 14 liter. Ukuran tayar depan dan belakangnya ialah 110/70-R17 dan 140/70-R17.
Sumber gambar : Kawasaki1ban