Yamaha XMAX 300 2023 diperkenalkan di pasaran USA, harga $6,099.00

Model skuter terbaharu Yamaha XMAX 300 2023 sebelum ini buat pertama kalinya diperkenalkan di pasaran Eropah. Kini model tersebut tiba di pasaran USA dengan harga $6,099.00, bersamaan RM 27,185.07 mengikut kadar semasa. Namun tarikh sebenar ianya akan berada di pasaran USA ialah pada Februari 2023 akan datang, dan tersedia dalam satu pilihan warna sahaja iaitu Granite Gray.

Yamaha XMAX 300 2023 kini mempunyai gaya dan penampilan facelift terbaharu, di samping enjin 292cc (liquid-cooled 4-stroke, SOHC single cylinder; 4 valves) dengan transmisi CVT. Jumlah kuasa maksimumnya sekitar 27.6hp @ 7,250rpm, dengan tork 29Nm @ 5,750rpm. Untuk perjalanan lebih jauh, model seberat 180 kg (wet weight) itu dibekalkan tangki bahan api dengan kapasiti 13.2 liter.

Antara ciri-ciri menarik yang melengkapinya termasuklah skrin TFT 4.2 inci dengan ciri sambungan ke telefon pintar dan fungsi navigasi Garmin, panel speedometer digital LCD 3.2 inci, sistem lampu LED sepenuhnya, sistem Smart Key, Traction Control System (TCS), ruang storan yang luas, lampu signal LED pada posisi yang lebih tinggi, dan juga sistem brek cakera dengan ABS Dual Channel.