Honda Forza 125 Special Edition 2023 tampil lebih sporty dan elegan

Selain daripada versi standard Honda Forza 125 2023, pasaran Eropah turut menerima versi yang lebih sporty dan elegan iaitu Honda Forza 125 Special Edition 2023. Bagi model istimewa tersebut, ianya didatangkan dalam satu pilihan warna Matt Cynos Gray Metallic dengan rim berwarna merah, di samping tempat duduk dengan jahitan, panel meter dengan bulatan berwarna merah, footpegs di bahagian belakang berwarna hitam sepenuhnya, bersama-sama plat pemijak lantai stainless steel.

Spesifikasi dan ciri-ciri lain antara model standard dan special edition adalah sama, antaranya enjin dalam sesaran 125cc (4 stroke-4 valve liquid-cooled, PGM-FI) dengan transmisi automatik CVT dan Idling Stop. Keluaran kuasa maksimumnya 14.34hp @ 8,750rpm dengan tork 12.3Nm @ 6,500rpm. Selain itu turut tersedia HSTC, skrin penghadang angin elektrik, Smart Key, pengecas USB Type-C, sistem lampu LED, Emergency Stop Signal function (ESS), sistem brek cakera dan ABS 2-channel.

Honda Forza 125 Special Edition 2023 turut mempunyai ruang storan di bawah tempat duduk yang luas dan boleh memuatkan dua buah helmet bermuka penuh. Tayar depan dan belakangnya tampil dalam saiz 120/70-R15 dan 140/70-R14. Untuk perjalanan yang lebih jauh, model skuter berkenaan dilengkapi tangki bahan api 11.7 liter. Spesifikasi teknikal lain termasuklah fork depan teleskopik 33 mm, penyerap hentak belakang jenis berkembar, dan ketinggian tempat duduk pada paras 780 mm.