Modenas Ninja 250 Öhlins Edition 2022 diperkenalkan, edisi terhad 180 unit sahaja

Edaran Modenas Sdn. Bhd. (EMOS) hari ini dengan rasminya memperkenalkan Modenas Ninja 250 Öhlins Edition 2022, yang dikeluarkan dalam edisi terhad 180 unit sahaja. Harga jualan asas untuk model berkenaan adalah sebanyak RM 20,500.00 (tidak termasuk insuran dan cukai jalan), dengan jaminan dari pengilang selama tempoh 2 tahun atau sehingga 20,000 km (yang mana tiba dahulu).

Modenas Ninja 250 Öhlins Edition 2022 hanya ditawarkan dalam versi Non-ABS sahaja, dan ianya didatangkan dengan sistem suspensi belakang Öhlins STX 36 Supersport Shock Absorber KA 744. Sistem suspensi premium itu menawarkan lebih kestabilan terutamanya ketika memasuki selekoh. Tempahan rasmi kini boleh dibuat mana-mana cawangan pengedar sah EMOS di seluruh negara.

Imbas kembali spesifikasinya, Modenas Ninja 250 dilengkapi enjin bersesaran 248cc (water-cooled, 4-stroke, parallel 2-cylinder, DOHC 4-valve) dengan gandingan transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch. Enjin bertaraf Euro 4 itu menghasilkan kuasa maksimum 37PS @ 12,500rpm dan tork setinggi 23Nm @ 10,000rpm. Tangki bahan apinya pula hadir dengan kapasiti penuh 14 liter.

Ciri-ciri menarik yang melengkapi Modenas Ninja 250 Öhlins Edition 2022 ini adalah seperti lampu depan LED berkembar, lampu belakang LED, Economical Riding Indicator, tinggi tempat duduk 795 mm, ukuran tayar depan dan belakang 110/70-R17 dan 140/70-R17, dan jarak kelegaan tanah 145 mm. Model tersebut juga dilengkapi brek cakera depan 310 mm dan brek cakera belakang 220 mm.