Untuk pasaran Malaysia, Edaran Modenas Sdn. Bhd. (EMOS) bakal melancarkan model adventure terbaharu Modenas Versys-X 250 Tourer 2023, pada tahun depan. Model tersebut dikatakan versi pemasangan tempatan atau CKD, dengan harga yang dijangkakan berpatutan. Namun sebelum itu, kita lihat dahulu model Kawasaki Versys-X 250 Tourer 2023, yang ditawarkan di pasaran Indonesia.
Kawasaki Versys-X 250 Tourer 2023 di pasaran Indonesia tampil dengan satu pilihan warna sahaja iaitu Candy Lime Green / Metallic Flat Spark Black / Metallic Spark Black. Varian yang tersedia pula ialah varian tanpa sistem brek ABS, tidak pasti kenapa varian ABS tidak ditawarkan bersama-sama. Spesifikasi teknikal yang lain pula adalah sama dengan model yang ditawarkan di pasaran Jepun.
Enjinnya bersesaran 248cc (Liquid-cooled, 4-stroke Parallel Twin, DOHC, 8 valves) dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch. Keluaran kuasa maksimumnya mencapai 34PS @ 11,500rpm, dengan tork setinggi 21.7Nm @ 10,000rpm. Untuk jarak perjalanan yang lebih jauh, tangki bahan api model seberat 181 kg itu didatangkan dengan kapasiti 17.0 liter.
Melihat kepada gambar-gambar dalam galeri di bawah, Kawasaki Versys-X 250 Tourer 2023 untuk pasaran Indonesia tampil serba lengkap dengan beberapa pilihan aksesori yang bersesuaian untuk aktiviti touring. Spesifikasi standard lain pada model itu termasuklah panel meter digital dan analog, sistem brek cakera, rim berjejari, dan tayar dalam siri 100/90-19 (depan) dan 130/80-17 (belakang).
Ketinggian tempat duduk Kawasaki Versys-X 250 Tourer 2023 berada pada paras 815 mm, dengan jarak kelegaan bumi 180 mm. Sistem suspensi merupakan gandingan antara fork depan teleskopik dan suspensi belakang monoshock. Untuk pasaran Indonesia, ianya dijual dengan harga sebanyak Rp 70,600,000, bersamaan RM 20,595.94. Adakah itu harga Modenas Versys-X 250 Tourer 2023?