Untuk pasaran Eropah, Honda bukan saja menawarkan model Honda Forza 350 2023, malah turut menawarkan versi dengan enjin yang lebih kecil iaitu Honda Forza 125 2023. Dari segi penampilan, Forza 125 turut menerima gaya rekaan facelift terbaharu yang lebih sporty dan elegan. Perubahan lain termasuklah panel instrumen digital dan analog yang memaparkan pelbagai fungsi terbaharu.
Honda Forza 125 2023 untuk pasaran Eropah tersedia dengan empat pilihan warna menarik seperti Matt Cynos Gray Metallic, Pearl Falcon Gray, Matt Pearl Pacific Blue, dan juga Matt Carnelian Red Metallic. Spesifikasi teknikal yang lain adalah sama seperti mana yang melengkapi Forza 350 2023, namun versi 125 ini tidak dilengkapi sistem sambungan Honda Smartphone Voice Control (HSVC).
Beralih ke bahagian sistem penjana kuasa, ianya merupakan enjin eSP+ yang berkapasiti 125cc (4- stroke, 4-valve, liquid-cooled, PGM-FI) dan digandingkan dengan transmisi automatik CVT dan juga teknologi Idling Stop. Enjin yang cekap dan ekonomi itu menghasilkan kuasa maksimum 14.34hp @ 8,750rpm dengan tork 12.3Nm @ 6,500rpm. Tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti 11.7 liter.
Honda Forza 125 2023 seterusnya dilengkapi Honda Smart Key, pengecas USB jenis Type-C, skrin penghadang angin elektrik, brek cakera dengan ABS 2-Channel, HSTC, sistem lampu LED dengan fungsi Emergency Stop Signal (ESS), ruang storan di bawah tempat duduk yang boleh memuatkan dua buah helmet bermuka penuh, saiz tayar 120/70-15 dan 140/70-14, dan beratnya hanya 164 kg.