Kawasaki W175 SE Black Style 2023 di pasaran Indonesia, harga RM 10,199.73

Kawasaki Malaysia kini telah kembali aktif, setelah hak pengedaran eksklusif kini berada di bawah Edaran Modenas Sdn. Bhd. (EMOS). Pelbagai model-model terbaharu Kawasaki telah dilancarkan di pasaran Malaysia iaitu Modenas Ninja 250, Modenas Ninja 250 ABS, Modenas Z250, Kawasaki Ninja ZX-10R, Kawasaki Ninja 1000SX, Kawasaki Versys 1000 SE dan juga Kawasaki Z900RS.

Pada tahun depan, EMOS juga akan melancarkan model yang ditunggu-tunggu Modenas Ninja ZX-25R 2023. Bagaimanapun tidak seperti di pasaran negara jiran Indonesia, dikhabarkan EMOS dan Kawasaki Malaysia tidak bercadang untuk memperkenalkan model bergaya klasik Kawasaki W175. Di pasaran Indonesia, terdapat empat varian model tersebut, termasuklah W175 SE Black Style.

Kawasaki W175 SE Black Style 2023 merupakan varian paling terkini, selepas pengenalan varian W175 SE, W175 Cafe dan W175TR SE, yang mana kesemuanya merupakan model keluaran 2023. Pilihan warna tunggal yang tersedia untuk Kawasaki W175 SE Black Style ialah Ebony, sementara harga jualannya ditetapkan sebanyak Rp. 35,100,000, bersamaan RM 10,199.73 (kadar semasa).

Di bahagian enjin, ianya bersesaran 177cc (Air-cooled, 4-stroke, Single cylinder, SOHC, 2 valves) dan masih menggunakan sistem penyampaian bahan api jenis karburetor. Dengan padanan sistem transmisi lima kelajuan, enjin itu menghasilkan kuasa maksimum 13PS @ 7,500rpm dengan jumlah tork 13.2Nm @ 6,000rpm. Tangki bahan apinya pula menawarkan kapasiti memuaskan 14 liter.

Spesifikasi lain yang melengkapi Kawasaki W175 SE Black Style 2023 adalah seperti fork depan teleskopik, penyerap hentak belakang berkembar dengan ciri pelarasan prabeban, brek cakera 220 mm di bahagian depan, brek dram di bahagian belakang, tayar dalam saiz 80/100-R17 (depan) dan 100/90-R17, tinggi tempat duduk 780 mm, jarak kelegaan bumi 165 mm, dan berat penuh 126 kg.