Honda Motor Europe secara rasminya memperkenalkan model skuter Honda Vision 110 2023 untuk pasaran Eropah, yang kini tampil dengan dua pilihan warna terbaharu Pearl Jupiter Gray dan Matt Suit Blue Metallic. Di samping itu, dua pilihan warna dari musim yang lalu iaitu Pearl Jasmine White dan Matt Galaxy Black Metallic juga masih ditawarkan, kepada empat pilihan warna kesemuanya.
Imbas kembali spesifikasinya, Honda Vision 110 ini dikuasakan enjin eSP (enhanced Smart Power) yang bersesaran 109.5cc (Air-cooled, 4-stroke, SOHC, single, 2 valve), dengan kelengkapan sistem suntikan bahan api elektronik PGM-FI dan transmisi automatik CVT. Jumlah kuasa maksimum yang dihasilkannya mencapai 8.7PS (6.4kW) @ 7,500rpm dengan tork maksimum 9.0Nm @ 5,750rpm.
Antara ciri-ciri menarik yang diperkenalkan untuk Honda Vision 110 adalah seperti kerangka baharu eSAF (Smart Architecture Frame) yang ringan dan kukuh, sistem Idling Stop yang ekonomi, Smart Key, panel meter digital LCD, ruang storan di bawah tempat duduk seluas 17.7 liter, lantai rata yang praktikal, dan sistem brek Combined Braking System (CBS). Kapasiti tangki bahan apinya 4.9 liter.