Honda PCX125 2023 diperkenalkan dengan dua pilihan warna baharu di pasaran Eropah

Model skuter Honda PCX125 2023 kini diperkenalkan di pasaran Eropah, dengan dua pilihan warna terbaharu Matt Suit Blue Metallic dan Pearl Jupiter Gray. Dua pilihan warna dari musim sebelumnya iaitu Pearl Jasmine White dan Matt Galaxy Black Metallic juga masih ditawarkan untuk musim 2023. Di bahagian teknikal pula, model tersebut masih belum menawarkan sebarang perubahan terkini.

Honda PCX125 2023 dikuasakan enjin eSP+ 125cc (single-cylinder, water cooled,  SOHC, 4-stroke, 4-valve) dengan padanan transmisi automatik V-Matic, dan menawarkan kuasa maksimum 12.3hp @ 8,750rpm dengan tork maksimum 11.8Nm @ 6,500rpm. Enjin tersebut dilengkapi dengan sistem PGM-FI dan Idling Stop yang cekap dan ekonomi. Tangki bahan api hadir dengan kapasiti 8.1 liter.

Melengkapkan spesifikasi Honda PCX125 2023 termasuklah sistem Honda Smart Key, lampu LED, panel meter digital LCD yang memaparkan pelbagai info penting, ruang barangan di bawah tempat duduk seluas 30.4 liter, soket pengecas USB jenis Type-C di dalam glovebox depan, dan teknologi Honda Selectable Torque Control (HSTC) dengan ciri boleh dimatikan (turned off) sepenuhnya.

Beralih ke bahagian sistem suspensinya, Honda PCX125 2023 menggunakan fork depan teleskopik dan suspensi belakang jenis berkembar. Untuk keselamatan, ianya didatangkan sistem brek cakera depan 220mm dengan kaliper dua piston dan ABS, serta brek dram belakang. Tinggi tempat duduk berada pada paras 764 mm, dan rodanya bersaiz 110/70-R14 (depan) dan 130/70-R13 (belakang).