Ducati baru-baru ini telah memperkenalkan Ducati Monster SP 2023, yang bakal berada di pasaran secara rasmi mulai Januari 2023. Berbanding varian standard, varian SP kini dilengkapi fork depan Öhlins boleh laras sepenuhnya, kaliper brek Brembo Stylema, silencer ekzos Termignoni, sepasang tayar berprestasi tinggi Pirelli Diablo Rosso IV, steering damper, dan juga bateri jenis lithium-ion.
Dengan naik taraf yang dilakukan itu, berat keseluruhan Ducati Monster SP kini telah berkurangan sekitar 2 kg berbanding varian standard. Selain itu, sistem elektronik Riding Mode (Sport & Touring) kini telah menerima talaan semula sepenuhnya, termasuklah kehadiran mod tunggangan terbaharu Wet yang menawarkan tahap keselamatan yang lebih tinggi di setiap permukaan basah dan licin.
Ducati pada masa yang sama turut menala semula sistem kawalan elektronik yang lain agar ianya bersesuaian dengan naik taraf terkini, antaranya melibatkan ABS Cornering, Ducati Traction Control dan Ducati Wheelie Control. Ducati Monster SP juga dilengkapi sistem Launch Control dan paparan panel instrumen TFT 4.3 inci berwarna, di samping grafik perlumbaannya yang mirip Panigale V4.
Ducati Monster SP 2023 kekal dikuasakan enjin dalam sesaran 937cc (Testastretta 11°, V2 – 90°, 4 valves per cylinder, desmodromic valvetrain, liquid cooled) yang bertaraf Euro 5, dengan hamburan kuasa maksimum 111hp @ 9,250rpm dengan tork maksimum 93Nm @ 6,500rpm. Sistem transmisi enam kelajuan kemudiannya telah digandingkan bersama-sama sistem Quick Shift Up & Down.