Web Analytics
Honda Monkey 125 2023 dilancarkan di pasaran Indonesia, harga premium bersamaan RM 25,096.17 – Arena Motosikal

Arena Motosikal

Informasi Motosikal Terkini

Honda Monkey 125 2023 dilancarkan di pasaran Indonesia, harga premium bersamaan RM 25,096.17

Pada tarikh 25hb. Oktober 2022 yang lalu, PT Astra Honda Motor (AHM) rasmi melancarkan model terbaharu Honda Monkey 125 2023 untuk pasaran Indonesia. Model berkenaan kini tampil dengan tiga pilihan warna terbaharu Pearl Nebula Red, Banana Yellow dan Pearl Shining Black. Harganya bagaimanapun mengejutkan, bertaraf premium iaitu sebanyak Rp. 82,533,000 (RM 25,096.17).

Spesifikasi teknikal Honda Monkey 125 2023 untuk pasaran Indonesia  adalah sama seperti mana model yang ditawarkan di pasaran Eropah, termasuklah enjin 124cc (air-cooled, SOHC, 4-stroke, 2-valve, PGM-FI) dengan kuasa maksimum 9.25hp @ 6,750rpm dan tork 11Nm @ 5,500rpm. Enjin itu kemudiannya dipadankan dengan kotak gear lima kelajuan dan gandingan klac tangan manual.

Sistem suspensinya menggunakan fork depan jenis terbalik dengan suspensi belakang berkembar. Di bahagian brek, ianya dilengkapi cakera depan dan belakang dengan ABS Single Channel. Ciri-ciri menarik lain adalah seperti sistem lampu LED, panel meter digital LCD, kunci dengan penggera anti-kecurian dan ‘answer back’, tinggi tempat duduk 775 mm, dan kapasiti tangki petrol 5.6 liter.

Di pasaran Malaysia, Honda Monkey kali terakhir dilancarkan sekitar penghujung tahun 2018, pada harga asas RM 13,999.00. Selepas itu tidak dapat dipastikan bilakah penawaran model berkenaan ditamatkan, dan berapakah jumlah unit yang berjaya dijual. Dengan harga terkini dalam lingkungan RM 25k, sudah pasti harapan untuk melihatnya kembali ke pasaran Malaysia kini menjadi sukar.

 
Arena Motosikal © 2023