SYM VF3i 185 2022 dengan sistem brek ABS dan enjin lebih berkuasa kini di pasaran Filipina

Mitsukoshi Motors Philippines baru-baru ini telah memperkenalkan versi terbaharu SYM VF3i 185 2022 di pasaran Filipina, yang kini dilengkapi dengan sistem brek ABS. Model tersebut merupakan kesinambungan kepada model terdahulu SYM VF3i 185 2020, yang sebelum itu dilancarkan untuk pasaran negara tersebut pada bulan September 2020.

Untuk makluman anda, SYM VF3i 185 2022 untuk pasaran Filipina merupakan model yang sama ditawarkan di pasaran Malaysia, yang lebih dikenali dengan nama SYM VF3i 185 Pro. Anda boleh saksikan gambar-gambar menariknya melalui paparan galeri seperti di bawah. Ini juga bermakna pasaran Filipina kini menerima varian tertinggi SYM VF3i 185, dengan enjin yang lebih berkuasa.

Imbas kembali spesifikasi SYM VF3i 185 Pro yang mula diperkenalkan di pasaran Malaysia sejak bulan Oktober 2020 yang lalu. Ianya dilengkapi enjin 183cc dengan kuasa maksimum 19.7hp @ 9,000rpm dan tork maksimum 17.4Nm @ 7,500rpm. Enjin itu dilengkapi teknologi suntikan bahan api, sistem penyejukan cecair dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan yang lancar.

Selain itu model tersebut juga hadir dengan ciri-ciri menarik seperti speedometer dengan reka bentuk yang bergaya, lampu signal depan LED dengan DRL LED yang terang untuk pandangan dari jarak jauh, lampu belakang LED, tangki bahan api 7 liter untuk jarak perjalanan lebih jauh, brek cakera di bahagian roda depan dan belakang, serta tuil brek dan klac tangan boleh laras.

Setakat ini pengedar SYM VF3i 185 2022 di pasaran Filipina masih belum mengumumkan harga jualannya. Dijangkakan harganya tidak akan jauh berbeza dengan model-model moped popular yang lain di sana, seperti Yamaha Sniper 155 dan Sniper 155R, Honda Supra GTR 150, Suzuki Raider R150 FI dan Benelli RFS150i.

Galeri : SYM VF3i 185 Pro 2020 (Malaysia)