Suzuki Avenis 125 2023 kini di pasaran Indonesia, harga RM 9,009.70

Model skuter terbaharu Suzuki Avenis 125 2023 kini rasmi dilancarkan di pasaran Indonesia, dengan harga jualan sebanyak Rp. 29,970,000, bersamaan RM 9,009.70 (kadar semasa). Tiga pilihan warna menarik ditawarkan iaitu Pearl Mirage White / Metallic Matte Fibroin Grey, Metalic Matte Fibroin Grey / Metallic Lush Green dan Mettallic Matte Black / Glass Sparkle Black.

Suzuki Avenis 125 ini merupakan sebuah model skuter bandar yang lincah, serta tampil dengan rekaan moden dan terkini. Ianya dikuasakan enjin SEP (Suzuki Eco Performance) 124.3cc (4-stroke, 1-cylinder, SOHC, 2-valve, air-cooled) dengan sistem suntikan bahan api dan transmisi CVT. Enjin itu menjana kuasa maksimum 8.7PS @ 6,750rpm dengan tork 10Nm @ 5,500rpm.

Sistem suspensinya merupakan fork depan teleskopik dengan penyerap hentak belakang tunggal. Sistem brek pula jenis cakera di bahagian depan dan dram di belakangnya. Ianya turut dilengkapi tangki bahan api 5.2 liter, tayar depan bersaiz 90/90-12 (tubeless) dan belakang bersaiz 90/100-10 (tubeless), tinggi tempat duduk 780 mm, jarak kelegaan bumi 160 mm, dan berat hanya 106 kg.

Pelbagai ciri-ciri menarik ditawarkan oleh Suzuki Avenis 125, antaranya seperti sistem penghidup Suzuki Easy Start System, Safety Shutter Key, Side Stand Engine Cut-Off Switch, Brake Lock System, ICBS (Integrated Combined Braking System), tudung tangki bahan api di bahagian luar di belakang yang memudahkan, ruang penyimpanan di bawah tempat duduk seluas 21.8 liter, dan lampu depan dan belakang LED yang mempunyai gaya rekaan tersendiri.

Melengkapkan lagi model skuter itu ialah dua storan di bahagian depan berukuran 1.0 liter dan 1.6 liter dengan soket pengecas USB, dan panel meter digital LCD sepenuhnya dengan pelbagai info berguna (Eco Drive Indicator, Engine Temperature, Battery Voltage, Digital Clock, Fuel Gauge, Oil Change Indicator, Dual Trip Meter, Average Fuel Consumption Engine Check Indicator).