Yamaha XMAX 250 Connected 2023 dilancarkan di pasaran Indonesia, harga RM 20,001.71

Pasaran Indonesia hari ini rasmi menerima pelancaran model skuter maxi terbaharu Yamaha XMAX 250 Connected 2023. Model tersebut sebelum ini dilancarkan di pasaran Eropah, dengan nama Yamaha XMAX 300 2023 dan Yamaha XMAX 300 Tech MAX 2023, serta dikuasakan enjin berkapasiti 292cc. Namun untuk pasaran Indonesia, hanya versi enjin 249.8cc sahaja ditawarkan.

Yamaha XMAX 250 Connected 2023 boleh didapati dalam empat pilihan warna menarik iaitu Dark Petrol, Luxury Red, Prestige Grey dan Premium Black. Harga jualannya pula ditetapkan sebanyak Rp. 66,000,000, bersamaan nilai RM 20,001.71 mengikut kadar semasa. Melihat gaya rekaannya, model tersebut tampil dengan lampu depan dan belakang LED baharu berbentuk X yang sporty.

Lebih menarik lagi, terdapat panel TFT Infotaiment Display yang boleh berhubung dengan telefon pintar, di samping boleh memaparkan sistem navigasi Garmin Street Cross. Pada bahagian atas panel tersebut pula terletaknya speedometer digital LCD. Ciri-ciri menarik yang lain adalah seperti sistem kunci pintar, soket pengecas, handlebar dan windshield boleh laras, sistem ABS, Traction Control System, storan seluas 44.9 liter di bawah tempat duduk, dan tangki bahan api 13 liter.

Yamaha XMAX 250 Connected 2023 dikuasakan enjin bersesaran 249.8cc (Single Cylinder, Liquid Cooled, 4-Stroke, SOHC 4-Valves) dengan transmisi V-Belt Automatic, dan menghasilkan kuasa maksimum 22.5hp @ 7,000rpm dengan tork 24.3Nm @ 5,500rpm. Roda depan dan belakangnya bersaiz 120/70-15 dan 140/70-14, tinggi tempat duduk 795 mm, dan berat penuh hanya 181 kg.