Yamaha MT-09 2022 di pasaran Jepun, harga bermula dari RM 35,263.89

Pada bulan Jun 2022 yang lepas, Yamaha MT-09 2022 untuk pasaran Malaysia telah menerima kemaskini dua warna baharu iaitu Cyan Storm dan Tech Black. Harga jualan asas yang ditawarkan pula adalah sebanyak RM 54,998.00, tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan.

Sementara itu di pasaran domestik Jepun, Yamaha MT-09 2022 ditawarkan dalam dua varian standard dan SP, diperkenalkan secara rasmi pada bulan Julai 2022 yang lalu. Bagi varian standard, Yamaha MT-09 menawarkan tiga pilihan warna iaitu Gray, Blue dan Matte Dark Gray, manakala Yamaha MT-09 SP pula tampil dengan satu skim warna eksklusif berasaskan Silver.

Harga jualan yang ditetapkan untuk Yamaha MT-09 2022 di pasaran Jepun ialah sebanyak 1,100,000 Yen, bersamaan nilai RM 35,263.89, manakala Yamaha MT-09 SP 2022 ditawarkan dengan harga jualan 1,265,000 Yen, bersamaan nilai RM 40,553.47 mengikut kadar semasa.

Yamaha MT-09 sama ada varian standard dan SP, dilengkapi enjin 889cc tiga silinder dengan kuasa maksimum 120PS @ 10,000rpm dan tork 93Nm @ 7,000rpm. Perbezaannya ialah varian SP dilengkapi Cruise Control, suspensi depan KYB dan belakang daripada Öhlins boleh laras sepenuhnya, tempat duduk dua jahitan dan swing arm dengan kemaskini permukaan tersendiri.