Kawasaki Ninja ZX-25R 2023 rasmi dilancarkan di pasaran Indonesia, harga bermula dari RM 31,833.97

Kawasaki Motor Indonesia (KMI) baru-baru ini secara rasminya melancarkan Kawasaki Ninja ZX-25R 2023 untuk pasaran Indonesia. Model berkenaan didatangkan dalam dua pilihan varian iaitu Standard dan ABS SE, dalam tiga pilihan warna Metallic Spark Black (Standard), Metallic Matte Graphene Steel Gray dan Candy Persimmon Red (ABS SE).

Tidak seperti Kawasaki Ninja ZX-25R 2022, model tahun 2023 kini telah tampil dengan beberapa naik taraf terkini yang lebih menarik. Antaranya ialah paparan panel instrumen baharu TFT dengan Circuit Mode, sistem sambungan ke telefon pintar dengan aplikasi RIDEOLOGI, dan juga rekaan terbaharu sistem ekzos yang kini lebih sporty dan bersih.

Spesifikasi enjin didapati masih sama seperti mana sebelumnya, begitu juga spesifikasi dan ciri-ciri teknikal canggih yang ditawarkan sebelum ini. Kawasaki Ninja ZX-25R 2023 dikuasakan enjin bersesaran 249.8cc, dengan teknologi empat silinder sebaris (Liquid-cooled, 4-stroke In-Line Four, DOHC, 16 valves) dan sistem transmisi enam kelajuan.

Kuasa maksimum yang dihasilkannya mencapai 51PS @ 15,500rpm (dengan Ram Air) (50PS tanpa Ram Air), dengan tork 22.9Nm @ 14,500rpm. Turut tersedia ialah Assist & Slipper Clutch, KTRC (Kawasaki Traction Control), Power Mode Selection, Centre Ram Air System, Electronic Throttle Valves, dan ABS serta KQS khusus untuk versi ABS SE.

Kawasaki Ninja ZX-25R 2023 ini menggunakan kerangka trellis yang kukuh, fork depan jenis terbalik 37 mm SFF-BP (Separate Function Fork – Big Piston), suspensi belakang Horizontal Back-Link dengan ciri pelarasan prabeban, brek cakera depan “radial-mount monobloc caliper” 310 mm empat piston, serta cakera belakang berdiameter 220 mm.

Di bahagian roda, jentera sport bike itu dilengkapi tayar depan dan belakang dalam saiz 110/70-R17 (depan) dan 150/60-R17 (belakang), dan tinggi tempat duduknya mencapai 785 mm. Berat ialah 180 kg untuk varian Standard dan 182 kg untuk ABS SE. Di bawah ialah senarai harga jualan yang ditawarkan untuk model tersebut di pasaran Indonesia.

  • 2023 Kawasaki Ninja ZX-25R : Rp. 105,000,000 (RM 31,833.97)
  • 2023 Kawasaki Ninja ZX-25R ABS SE : Rp. 123,500,000 (RM 37,442.81)

Galeri : 2023 Kawasaki Ninja ZX-25R

Galeri : 2023 Kawasaki Ninja ZX-25R ABS SE