Yamaha MT-07 2023 terima naik taraf skrin TFT, sistem sambungan dan bersedia untuk quickshifter

Yamaha Motor Europe baru-baru ini telah memperkenalkan Yamaha MT-07 2023 untuk pasaran Eropah, dalam tiga pilihan warna iaitu Cyan Storm, Icon Blue dan Tech Black. Di samping itu, model naked tersebut kini telah menerima beberapa naik taraf terkini seperti skrin TFT 5.0 inci berwarna sepenuhnya dan sistem sambungan dengan aplikasi MyRide.

Selain itu, Yamaha MT-07 2023 kini turut tersedia dengan pra-pemasangan sistem elektronik yang diperlukan bagi pemasangan sistem quickshifter dengan pantas dan tanpa sebarang masalah. Quickshifter ketika ini merupakan antara pilihan aksesori yang disediakan oleh Yamaha. Dengan naik taraf terkini, ianya boleh dipasang dengan mudah pada bila-bila masa.

Yamaha MT-07 2023 dikuasakan enjin bersesaran 689cc (2-cylinder, 4-stroke, Liquid-cooled, DOHC, 4-valves) dengan sistem transmisi enam kelajuan. Jumlah kuasa yang dihasilkan enjin itu mencapai 73.4PS @ 8,750rpm dengan tork maksimum 67Nm @ 6,500rpm. Kapasiti tangki bahan apinya ialah 14 liter, sementara berat keseluruhan jentera naked itu 184 kg (wet weight).