Honda CB650R 2023 terima dua pilihan warna terbaharu untuk pasaran Eropah

Model naked Neo Sports Café kelas pertengahan Honda CB650R 2023 baru saja diperkenalkan untuk pasaran Eropah, kini tampil dengan dua pilihan warna terbaharu Matt Dim Gray Metallic dan Matt Gunpowder Black Metallic. Turut ditawarkan ialah dua pilihan warna terdahulu dari musim 2022 iaitu Candy Chromosphere Red dan Mat Jeans Blue Metallic.

Selain daripada pilihan warna terbaharu, model tersebut masih mengekalkan spesifikasi yang sama. Antaranya termasuklah enjin 649cc (liquid-cooled 4-stroke 16-valve DOHC inline-4 cylinder) yang menjana 93.8hp @ 12,000rpm dengan tork 63Nm @ 8,500rpm. Enjin bertaraf Euro 5 itu seterusnya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch.

Turut melengkapi ialah Honda Selectable Torque Control (HSTC), fork depan Showa Separate Function Big Piston (SSF-BP) USD 41 mm, suspensi belakang tunggal (monoshock damper with 10 stage adjustable preload), brek cakera depan berkembar dengan kaliper empat piston (radial-mount) 310 mm, brek cakera belakang kaliper tunggal 240 mm dan ABS Dual Channel.

Honda CB650R 2023 seterusnya menawarkan panel meter digital LCD, sistem lampu LED sepenuhnya, soket pengecas USB jenis Type-C di bawah tempat duduk, kapasiti tangki bahan api 15.4 liter, roda depan 120/70-R17 dan roda belakang 180/55-R17, tinggi tempat duduk 810 mm, jarak kelegaan bumi 150 mm, dan berat keseluruhan pada angka 202.5 kg (kerb weight).

Untuk pasaran Malaysia, Honda CB650R 2022 telah dilancarkan pada bulan Februari yang lepas, dengan harga jualan asas sebanyak RM 43,499.00. Tiga pilihan warna yang ditawarkan ialah Mat Jeans Blue Metallic, Candy Chromosphere Red dan Mat Gunpowder Black Metallic. Untuk pilihan warna terbaharu versi 2023, ianya dijangka akan diperkenalkan pada tahun depan.