Honda CBR650R 2023 terima penampilan visual terbaharu di pasaran Eropah

Honda Motor Europe pada kelmarin telah memperkenalkan Honda CBR650R 2023, yang kini telah menerima penampilan visual terbaharu yang lebih menarik. Model sport bike kelas pertengahan itu masih mengekalkan dua pilihan warna terdahulu iaitu Grand Prix Red dan Matt Gunpowder Black Metallic, namun ianya kini telah dikemaskini semula melibatkan skim warna dan grafik terkini.

Malah pada bahagian fork depannya yang dulu berwarna emas, ianya kini tampil dengan warna hitam. Untuk melihat dengan lebih jelas perbezaan warna dan grafik di antara model tahun 2023 dan 2022, anda boleh melihatnya melalui paparan gambar-gambar menarik yang dipaparkan di dalam galeri di bawah. Spesifikasi teknikal pula masih kekal sama seperti mana sebelumnya.

Honda CBR650R 2023 dilengkapi enjin 649cc (liquid-cooled, 4-stroke, 16-valve, DOHC inline-4 cylinder) dengan teknologi PGM-FI, dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch. Enjin berprestasi tinggi itu menghasilkan kuasa maksimum 93.8hp @ 12,000rpm, dengan tork puncak 63Nm @ 8,500rpm. Kapasiti tangki bahan apinya ialah 15.4 liter.

Sistem suspensi menggunakan fork depan USD Showa Separate Function front Fork Big Piston (SFF-BP) 41 mm, bergandingan dengan suspensi belakang monoshock berwarna merah. Turut melengkapinya termasuklah panel meter digital LCD, sistem lampu LED, pengecas USB Type-C di bawah tempat duduk, Honda Selectable Torque Control (HSTC), dan brek ABS Dual Channel.

Selanjutnya, Honda CBR650R 2023 berdiri di atas tayar depan dan belakang dalam saiz 120/70-R17 dan 180/55-R17. Tinggi tempat duduknya berada pada paras 810 mm, jarak kelegaan bumi 130 mm, dan berat jentera sport bike itu ialah 208 kg (kerb weight). Di pasaran Malaysia, Honda CBR650R 2022 ditawarkan dengan harga jualan asas sebanyak RM 45,499.00 sahaja.

Galeri : 2023 Honda CBR650R

Galeri : 2022 Honda CBR650R